Program Seni Citra "Arena Ghazal"
Assalamualaikum.
Alhamdulillah, anjuran Ghajmas bersama Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRa), ASWARA dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maka terhasillah sebuah forum & showcase Program Seni Citra "Arena Ghazal" bertajuk ~ Ghazal Dalam Arena Dangdut pada 27 Februari 2018 (Selasa) yang bertempat di Dewan Orkestra, Aswara pada jam 4.00 - 7.00 petang.
Acara ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Antara penonton yang hadir ialah Pak Ngah Suhaimi, Raja Kobat, Elda Susanti serta wakil dari jabatan-jabatan kebudayaan seluruh Malaysia. Bahkan wakil dari Singapura (En. Aliff Azman) pun turut hadir untuk memberi sokongan. Terima kasih yang sebesar-besarnya.
TALKSHOW: ARENA GHAZAL
“Ghazal Dalam Arena Muzik Dangdut”
Muzik Ghazal di Malaysia sangat sinonim dengan pengaruh
muzik Hindustan dari India dan muzik Qawwali dari Pakistan. Perkembangannya di
Malaysia sejak tahun 1950-an adalah sangat memberangsangkan dan menjadi
identiti utama bagi masyarakat negeri Johor.
Dewasa ini, perkembangan muzik Ghazal dilihat semakin hangat diperkatakan
dalam arena industry muzik Dangdut. Sejak munculnya acara Dangdut Academy Asia
(DAA) oleh sebuah siaran televisyen Indonesia iaitu Indosiar pada tahun 2015, kemudian
diikuti dengan acara Dangdut Star oleh ASTRO Malaysia, istilah ‘Ghazal’ sering menjadi
‘buah-mulut’ barisan juri dan pengulas acara dalam menilai penampilan peserta pertandingan
tersebut.
Di dalam acara DAA, nama-nama peserta yang mewakili
Malaysia seperti Shiha Zikir, Fitri Hiswady, Rojer Kajol, Elda Susanti, Asmidar, Syura dan
Azizzul Haqim sering dianggap sebagai peserta yang mempunyai bakat yang tinggi dalam
menyampaikan teknik ‘cengkok’ atau ‘lenggok’ Melayu diantaranya adalah teknik
Ghazal. Mereka sering dijadikan contoh kepada peserta negara lain dalam penguasaan
teknik tersebut. Ironinya, di dalam acara Dangdut Star ASTRO Malaysia, teknik
Ghazal selalu diasingkan daripada teknik nyanyian Dangdut dan seringkali dinilai
tidak menepati gaya nyanyian Dangdut yang diinginkan.
Berdasarkan sejarah perkembangan muzik Ghazal Melayu
Johor, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa elemen-elemen Dangdut memang sudah
terdapat dalam muzik Ghazal sejak awal kewujudannya. Ia jelas terlihat pada ritma
dan melodi yang dimainkan oleh alat muzik utamanya seperti tabla, harmonium dan
vokal. Tambahan pula, muzik Dangdut sememangnya tidak lepas dari pengaruh budaya
muzik yang sama iaitu muzik Hindustan. Lebih jauh lagi, keserasian antara
Ghazal dan Dangdut telah menjadi inspirasi buat kumpulan Seri Melati Ghazal
Johor Bahru dimana pada sekitar tahun 1980-an, mereka merupakan kumpulan Ghazal
pertama di Malaysia yang merakamkan album Ghazal dengan tema Irama Dangdut.
Persoalannya adalah, apakah elemen-elemen Ghazal merupakan ciri khas bagi
muzik Dangdut atau sebaliknya? Bagaimana teknik Ghazal dapat dibezakan dengan teknik
nyanyian Dangdut? Apakah cabaran yang dihadapi oleh peserta-peserta Malaysia
dalam memperjuangkan identiti muzik Dangdut Malaysia di pertandingan berprestij
seperti DAA? Semuanya akan dikupas secara demonstrative dan kreatif dalam TALKSHOW ARENA GHAZAL bersama Fitri
(DAA1), Rojer (DAA2), Azizzul Haqim (DAA3), dan Dr. Mantabla (Komposer dan Pensyarah
Muzik UPSI) anjuran bersama Akademi Seni dan Warisan Negara (ASWARA) dan Persatuan
Ghazal Johor Malaysia (GHAJMAS) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) pada 27 Februari 2018 jam 4 petang bertempat di Dewan
Orkestra ASWARA. Selamat menyaksikan!
 |
Poster Arena Ghazal. |
 |
Che Kem~Pengarah Kebudayaan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRa), ASWARA. |
 |
Keratan akhbar tentang Arena Ghazal. |
 |
Penyanyi dan pemuzik Ghajmas. |
 |
Candid! |
 |
Azizzul, Fitri, A. Rahman Kamarudin, Pak Ngah dan Rojer. |
 |
Azizzul (DAA3), Fitri (DAA1) dan Rojer (DAA2). |
 |
Che Kem menyampaikan cenderamata kepada Tokoh Ghazal (Pak Karim). |
 |
Penyampaian cenderamata. |
 |
Pemuzik Ghajmas yang mengiringi Arena Ghazal. |
 |
Rojer bersama wakil dari Yayasan Warisan Johor. |
 |
Jualan cd audio lagu ghazal dari Pustaka Rojer kajol. |
 |
Penonton yang hadir. |
 |
Sesi bahas yang hangat. |
 |
Sesi bual bicara. |
 |
Rehearsal.
 |
Maimunah standby soundcheck. |
|
|
|
|
 |
Selesai mesyuarat antara PuTRa dan Ghajmas beberapa hari sebelum program. |
 |
Pak Ngah yang disayangi ramai. |
 |
Terima kasih TV9. |